Kerja di rumah
Home » » Hadiah daripada Tuhan (Kosmo Online)

Hadiah daripada Tuhan (Kosmo Online)

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my


SEMASA berita tentang kehamilan Amber Chia diumumkan di laman blognya, www.amberchia.tv baru-baru ini, persoalan mengenai dirinya mengandung sebelum perkahwinan timbul menjadi pertanyaan.

Memberitahu peminatnya bahawa dia sudah mengandung selama tiga bulan, umum diketahui, model terkenal itu hanya menjalankan majlis resepsinya di Bali, Indonesia pada 25 Mac lalu.

Maka, jika dikirakan, Amber sebenarnya hamil sekitar bulan Februari lalu. Ditanya tuan punya diri mengenai perkara itu semasa menjalankan sidang media mengumumkan program realiti The Diary of Amber Chia, jelitawan itu tanpa berselindung menyatakan dia sendiri tidak tahu dirinya mengandung semasa berada di Bali.

Namun, Amber membuat keputusan untuk bertemu dengan doktor apabila kitaran haidnya tidak menepati waktu. Ketika itu, Amber disahkan sudah mengandung dua bulan. "Semasa berada di Bali, saya tidak merasakan diri saya mengandung. Saya tidak berasa penat atau menunjukkan sebarang simptom mengandung.

"Selepas disahkan oleh doktor, saya dan suami berbulan madu di Australia. Hanya selepas kandungan saya tiga bulan, saya membuat keputusan untuk mengumumkan berita itu. Dalam pantang larang masyarakat Cina, kita tidak boleh memberitahu orang jika kandungan belum mencapai usia tiga bulan. Itu satu petanda tidak baik buat bayi."

Jangan cepat menilai kerana ramai yang sebenarnya tidak tahu bahawa Amber dan suaminya, Adrian Wong, 36, sudah sah sebagai suami isteri pada Disember tahun lalu apabila pasangan itu menandatangani dokumen pernikahan.

Jadi, kandungan Amber yang kini berusia tiga bulan itu bukan lagi sebab mengapa Amber yang sebelum dikatakan berkahwin dalam keadaan terburu-buru. Dia sudah menjadi isteri sah kepada Adrian.

"Sudah enam bulan kami menandatangani dokumen perkahwinan. Tapi bagi masyarakat Cina, hanya selepas majlis persandingan (makan malam) kita dikirakan berkahwin. Jadi apabila orang bertanya, saya memberitahu bahawa saya berkahwin 25 Mac lalu.


AMBER dan Andrian sebenarnya sudah enam bulan menandatangani dokumen pernikahan.


"Dari situ, mungkin berlaku salah faham. Namun, saya merasakan bayi ini merupakan hadiah perkahwinan daripada Tuhan kepada kami," jelas Amber.

Mengenali suaminya, selama dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga, Amber menyatakan dirinya amat bertuah kerana tidak mengalami sebarang alahan mengandung. Malah, selera makan Amber meningkat dua kali ganda.

"Tidak muntah atau berasa penat, saya amat bertuah setakat ini. Namun, selera makan saya menjadi semakin baik. Kalau dulu saya makan tiga kali sehari, sekarang saya akan makan sebanyak enam kali. Cara pemakanan saya juga berubah sama sekali kerana pada peringkat berlainan, seorang wanita mengandung memerlukan khasiat berbeza," tambahnya.

Belum mengidam sebarang makanan, Amber dalam senyuman memberitahu dirinya sudah tidak sabar untuk menjadi ibu. Tidak dapat meluahkan perasaannya, Amber belum memikirkan nama untuk anaknya kerana belum mengetahui jantinanya.

Namun, dirinya mengaku dia mahukan anak perempuan. "Buat masa ini, saya tidak tahu jantina anak saya tetapi mengharapkan anak perempuan. Sebenarnya saya hanya mahukan dua orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Itu adalah jumlah ideal bagi pasangan ibu bapa generasi baru. Disebabkan saya akan berusia 29 tahun selepas melahirkan anak pertama, saya bercadang untuk mengandung anak kedua pada usia 33 tahun.

"Selain bahaya mengandung pada usia lewat, saya juga tidak mahu jurang usia terlalu jauh antara anak saya. Jika tidak, saya mungkin tidak berpeluang melihat anak saya mendirikan rumah tangga atau melihat cucu saya," jelasnya.

Menyangkal tanggapan orang ramai bahawa wanita mengandung perlukan banyak rehat, Amber menyarankan wanita mengandung lain untuk meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa supaya bayi mereka nanti tidak terlalu besar dari segi saiz.

Malah, dia juga tidak kisah jika diperlukan untuk membuat peragaan di atas pentas ketika kandungan berusia lapan bulan kerana baginya, wanita mengandung juga ada kecantikan tersendiri.

"Apabila perut anda besar, ini bermaksud bayi anda semakin besar dan sihat. Jadi anda sepatutnya gembira dan yakin dengan penampilan anda.


MEREKA belum memikirkan nama anak.


"Jangan hanya sembunyi di dalam rumah. Keluar dan lakukan apa sahaja yang disukai. Saya masih bersenam dan menjalankan yoga tapi semua itu perlu dilakukan dengan cara yang betul."

Turut berasa takut dirinya akan gemuk selepas melahirkan anak, Amber bagaimanapun tidak perlu terlalu risau kerana sudah ditawarkan oleh beberapa syarikat pelangsing badan yang mahu mengembalikan bentuk badannya dalam masa sebulan.

"Selain syarikat pelangsing badan, saya juga ditawarkan kontrak jurucakap produk susu. Namun, semua itu masih dalam perbincangan. Apa yang saya gembira adalah ada syarikat pelangsing yang mahu mengembalikan bentuk badan saya dalam masa sebulan. Mereka sanggup berbuat demikian di rumah saya semasa dalam pantang," ujarnya.

Di sebalik tabir

Menggalas tanggungjawab sebagai model antarabangsa, Amber sedar ramai orang yang mahu mengenali serta mendekati hidupnya. Mereka mahu mengetahui siapa Amber dan melihat sendiri sisinya yang lain daripada semasa berada di atas pentas peragaan.

Dari situ, lahirlah idea program realiti The Diary of Amber Chia yang diterbitkan oleh syarikatnya, Amber Creations Sdn. Bhd. dengan kerjasama Creative Republic Sdn. Bhd. dan Filmbase Sdn. Bhd.

"Ideanya timbul sebelum saya menjayakan program pencarian model, Ford Model lagi. Kemudian masalah timbul dengan program itu dan saya pula sibuk dengan persiapan perkahwinan saya. Memandangkan saya sudah mengandung, kami sudah menukar semua perancangan episod yang bakal dirakamkan.


AMBER tetap ingin berkerja keras biarpun sedang hamil.


"Program sebanyak 13 episod itu kini akan dimulakan dengan majlis perkahwinan saya diikuti dengan jangkamasa saya mengandung sehingga bersalin. Sedikit penggambaran mengenai kerjaya pula sudah dilakukan pada Jun lalu," kata Amber.

Berharap program itu sempat disiarkan penghujung tahun ini, Amber bagaimanapun belum mendapat slot untuk mana-mana stesen TV. Mahu menjadikan program itu sebagai memori kepada anaknya, Amber menjanjikan persembahan paling 'realiti' untuk penonton.

"Ini bukan sebuah drama tetapi penonton boleh melihat kehidupan peribadi saya di sebalik tabir. Apa yang paling mengujakan adalah episod saya bersalin. Anda akan melihat saya dalam keadaan buruk. Proses melakukan rawatan di hospital juga akan menjadi pengisian program," katanya lagi.

Mungkin akan mengurangkan beban kerjanya mulai bulan depan, Amber bagaimanapun memberitahu dirinya seorang yang suka bekerja keras. "Saya jenis orang yang tidak boleh duduk di rumah. Saya mahu melakukan sesuatu untuk hidup saya dan program ini datang pada masa yang tepat."

0 komentar:

Posting Komentar