Kerja di rumah
Home » » Minda: Keluarga bahagia, masyarakat utuh (Harian Metro)

Minda: Keluarga bahagia, masyarakat utuh (Harian Metro)

PERKAHWINAN adalah cantuman antara lelaki dan perempuan yang sah, diberikan tugas dan tanggungjawab untuk menjadi sebuah institusi keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang. Tanpa perkahwinan keadaan ini tidak dapat diwujudkan dalam masyarakat.

Perkahwinan dalam masyarakat yang bertamadun berfungsi sebagai satu ikatan suci untuk memenuhi tuntutan emosi dan jasmani, meringankan ketegangan dan tekanan perasaan, menentukan status sosial dan sebagainya, satu usaha penyatuan antara beberapa keluarga dan keturunan.


Suami isteri yang berkahwin dapat memenuhi tuntutan emosi yang memerlukan kasih sayang, cinta, perlindungan, tempat bergantung, teman perkongsian perasaan, mencari ketenangan dan sebagainya. Sementara anak yang dilahirkan dalam suatu ikatan perkahwinan juga memerlukan kasih sayang, penjagaan rapi, pendidikan agama, tempat bergantung dan perlindungan selamat.


Seorang anak akan berasa selamat dan tenteram di bawah jagaan ibu bapa yang bertanggungjawab serta mempunyai perasaan kasih sayang. Keluarga adalah dunia kecil yang harmoni yang dapat membentuk ahli masyarakat yang bertanggungjawab.


Kajian ahli psikologi Barat Arnold Gesell (1947) mendapati tingkah laku manusia berkembang mengikut peringkat kematangan biologi. Ini bermakna perkembangan jasmani dan tingkah laku berlaku mengikut pola dan turutan yang terkawal mengikut jadual masa yang agak tetap.


Oleh itu, seorang anak yang dilahirkan memerlukan kasih sayang ibu bapanya, kakak atau abang bagi merasakan dirinya dalam keadaan selamat dan tenteram. Perkembangan tingkah laku seseorang kanak-kanak itu akan berkembang mengikut persekitaran dan asuhan dalam sesebuah keluarga. Dalam hal ini keadaan yang harmoni dan penuh kasih sayang adalah amat penting.


Hadis riwayat Ath Thahawi, Rasulullah s.a.w. ada menyebut bahawa: “Cintailah anak-anak dan sayangilah mereka. Apabila menjanjikan sesuatu kepada mereka tepati janji itu. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamulah yang memberi mereka rezeki”.


Jelaslah, melalui hadis ini seseorang anak itu perlu diberikan kasih sayang secukupnya. Apabila ayah atau ibu berjanji kepada anak- anak, mestilah ditepati dan jangan ingkari serta menipu mereka.


Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bertakwa kepada Allah dan berlaku adil terhadap anak-anak.” Dalam hal ini ibu bapa juga perlu menunjukkan kasih sayang yang intim antara mereka. Anak-anak akan melihat dan menjadikan contoh kasih sayang itu daripada ibu bapanya. Tidak ada ruginya menunjukkan kasih sayang dalam keluarga kerana anak-anak akan membalas kasih sayang itu apabila meningkat dewasa. Kasih sayang datang daripada perasaan, bukan daripada pemberian wang ringgit atau berbentuk material. Kasih sayang lahir daripada jiwa yang suci dan murni.

Dalam keadaan sekarang keruntuhan institusi keluarga amat ketara. Ini menyebabkan ramai di kalangan ahli masyarakat yang tidak lagi percaya kepada kedaulatan institusi keluarga.


Hubungan ayah dan ibu semakin longgar. Tiada lagi kasih sayang dalam keluarga dan pengaruh Barat telah menular dalam masyarakat kita. Untuk memperbaiki kehidupan keluarga, seluruh ahli keluarga hendaklah menjadikan rumah sebagai asas tempat menjalin kasih sayang dan keharmonian yang utuh.


Kajian Nicholas Stinnett mendapati beberapa ciri keluarga utuh, iaitu saling menghargai satu sama lain, boleh berkomunikasi antara satu sama lain, mempunyai pegangan agama yang kuat dan mengambil pendekatan yang konstruktif dalam menghadapi krisis.


Melalui sikap saling menghargai antara satu sama lain akan mewujudkan kasih sayang. Setiap ahli keluarga akan berasa puas dan bahagia dengan keadaan diri masing-masing dan ahli keluarga lain. Ahli keluarga sentiasa ingin bersama untuk membolehkan mereka menikmati kebahagiaan keluarga. Melalui persekitaran yang harmoni, ahli keluarga lebih menyedari kekuatan ahli yang lain dan kekuatan mereka secara kolektif sebagai satu keluarga.

0 komentar:

Posting Komentar