E-mel

28 Apr 2010

SUKAN

LIGA JUARA-JUARA EROPAH
Tidak mustahil Barca bangkit

Sejarah bukti kelebihan dua gol Inter belum terjamin apabila bertandang ke Nou Camp

Oleh
Saparin Rasikin
KETINGGALAN 1-3 tetapi tidak mustahil menyaksikan kebangkitan Barcelona mengubah keputusan tersebut dan melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara Eropah di Madrid bulan ini.
Jadi, Inter Milan perlu bersedia dan menjangkakan ledakan kebangkitan ini apabila turun di Stadium Nou Camp dalam perlawanan pusingan kedua separuh akhir malam ini (Khamis, 2.45 pagi waktu Singapura).
Ini bukan sekadar perang psikologi, tetapi Barcelona pernah membuktikan kemampuannya bangkit mengatasi lawan dengan kelebihan dua gol, lebih-lebih apabila keadaan mendesak.
Kekalahan 1-3 di San Siro minggu lalu bukan pertama kali dialami oleh gergasi Sepanyol ini yang mahu mencatatkan sejarah sebagai pasukan pertama sejak kejayaan AC Milan pada 1990 memenangi kejuaraan ini dua tahun berturut-turut.
Dynamo Kiev dan Chelsea masing-masing pada musim 1993-1994 dan 1999-2000 berada pada kedudukan yang selesa tetapi Barcelona mengubah keputusan dengan mengalahkan mereka 4-1 dan 5-1 pada pusingan kedua.
Dalam dua perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di padang sendiri, Barcelona menyumbatkan empat gol ke atas kelab Jerman, VfB Stuttgart, dan Arsenal dari England.
Malah di peringkat kumpulan kejohanan musim ini, Barcelona menundukkan Inter 2-0 di Nou Camp selepas seri 0-0 di San Siro.
Oleh itu, anak buah Pep Guardiola perlu mempamerkan potensi sebenar untuk memenuhi matlamatnya, di samping mengharapkan sorakan semangat daripada para penyokong di Nou Camp.
Bintang Argentina, Lionel Messi, yang kurang menyerlah dalam pertemuan pertama, diharapkan dapat mengembalikan kelincahan dan kecekapan mengawal bola untuk menggugat kekukuhan benteng juara Italy itu.
Begitu juga dengan penyerang Zlatan Ibrahimovic, yang mempunyai insentif tambahan menentang bekas kelabnya ini, di samping bintang midfield Sepanyol, Xavi, pemain yang bakal mencorak permainan pasukan tuan rumah.
'Kami mesti terus mengenakan tekanan ke atas Inter,' kata Ibrahimovic. 'Tetapi yang penting kami harus bermain dengan corak permainan kami sendiri.'
Penyerang Sweden itu sedar corak permainan fizikal kelab Italy tetapi menegaskan: 'Kami sudah bersedia untuk berperang.'
Barcelona turun tanpa kapten berpengalaman, Puyol, yang digantung dan Inter akan cuba memanfaatkannya menerusi gandingan penyerang Diego Milito dan bekas bintang Barcelona, Samuel Eto'o.
'Kami perlu berani dan berusaha menjaringkan seberapa banyak gol,' kata pemain pertahanan Barca, Gerard Pique. 'Dua gol mungkin tidak memadai kerana jika Inter menyumbatkan satu, kami akan tersingkir.'
Bekas pemain Manchester United itu menambah: 'Saya mahu melihatkan sokongan luar biasa daripada para penyokong yang memenuhi setiap ruang stadium.
'Mereka begitu teruja menjelang perlawanan ini kerana yakin kami boleh melakukannya.'
Jurulatih Jose Mourinho mengharapkan pemain midfield Belanda, Wesley Sneijder, pulih daripada kejang otot paha untuk membantu menyemarakkan jentera serangan.
Bagaimanapun, Inter dijangka mengekalkan pendekatan 'menyerap tekanan dan melancarkan serangan balas' seperti dalam perlawanan pertama, lebih-lebih lagi Barcelona pasti akan lebih ofensif dalam usaha mendapatkan kemenangan dua gol itu.
Mourinho, yang pernah bersama Barcelona sebagai pembantu kepada Bobby Robson, kerap mengecap keputusan yang baik ke atas bekas kelabnya seperti kejayaannya ke atas Chelsea.
Bagaimanapun, Barcelona adalah berbeza dan dengan sokongan hampir 100,000 penyokong fanatiknya di Nou Camp, tugas anak buah Mourinho lebih mencabar.
0 komentar:
Posting Komentar