Kerja di rumah
Home » » Mencari punca kejadian buli murid (Berita Harian)

Mencari punca kejadian buli murid (Berita Harian)

Mudah cetak
E-mel

21 Apr 2010

KOMENTAR

E-MEL DARI HAWAII
Mencari punca kejadian buli murid

Oleh
M. Effendy A. Hamid

DI sebuah kedai kopi baru-baru ini, saya terdengar suara seorang perempuan memarahi anak lelakinya.

Agaknya, si anak bermasalah di sekolah dan dilaporkan guru kepada ibunya itu.

Walaupun saya berada agak jauh, akhirnya telinga saya dapat menangkap kemarahan si ibu - anaknya bergaduh dengan beberapa murid di sekolahnya.

Yang memeranjatkan saya ialah 'nasihat' si ibu:

'Lain kali jangan kalah, apabila mereka kacau lagi, panggil bapa. Dia akan tolong.'

Gaya cakap si ibu macam kisah 'mafia'. Hal ini membuat saya berfikir tentang beberapa isu yang agak penting:

keadaan buli di sekolah yang semakin serius;

pembentukan minda dan jiwa anak kecil dan pengalamannya dalam konteks buli, dan

kesan jangka panjang apabila si anak dewasa kelak.

Isu buli di sekolah sudah menjadi ehwal jagat.

Majalah antarabangsa, Time, baru saja menghidangkan makalah yang berpendapat bahawa pendekatan baru diperlukan untuk membanteras buli di sekolah. Ia menuntut tinggan rasa atau empati antara ibu bapa dan pihak sekolah dengan pelajar.

Buli merupakan sejenis kekerasan. Sekalipun tidak terbasmi langsung, ia dapat dikurangkan dengan pembentukan tinggan rasa sejak usia awal sebagai kunci interaksi sosial.

Menurut makalah itu juga, tanpa empati, kita tidak akan mempunyai masyarakat yang sepadu dan saling mempercayai sehingga tiada alasan untuk tidak membunuh, menipu, mencuri atau berbohong. Ertinya, tanpa tinggan rasa seseorang akan bertindak kerana kepentingan dirinya sendiri.

Selanjutnya, makalah itu mengatakan bahawa pembentukan empati manusia biasanya muncul sejak bayi. Kajian juga menunjukkan mereka yang mengalami trauma buli pada tahap awal, besar kemungkinan menjadi agresif atau psychopath (orang gila) pada kemudian hari. Cakap mudah: Anak kecil yang telah dibuli akan membalas sebagai pembuli apabila dewasa nanti.

Saya teringat perbincangan dengan seorang kawan mengenai pembentukan jiwa pemimpin dalam rangka seseorang menjadi ketua negara (presiden atau perdana menteri).

Saya pernah membaca riwayat Napoleon Bonaparte (1769-1821) yang pernah menjadi jeneral dan kemudian maharaja Perancis tetapi gagal menguasai seluruh Eropah dalam awal abad ke-19 Masihi. Napoleon akhirnya mati (dipercayai membunuh diri) dalam tahanan British di sebuah pulau terpencil, Saint Helena.

Sewaktu di sekolah, Napoleon diejek kawan-kawannya. Ini disebabkan latar hidupnya - kelahiran pulau Corsica. Loghatnya unik dan badannya pula pendek. Jadi, Napoleon sering dibuli kawan-kawannya.

Trauma ini membuatnya menyimpan sifat agresif untuk membuktikan kehebatannya apabila dewasa.

Walaupun pintar dan memiliki daya ingatan luar biasa (boleh menghafal nama para askarnya), Napolean dikatakan gila kuasa dan tidak memiliki tinggan rasa. Akibatnya, tentera Perancis menerima padah dalam beberapa ekspedisi perang yang sesia seperti menyerang Russia dalam musim sejuk.

Trauma jiwa pada usia awal perlu dipelajari kerana ia menghambat seseorang apabila dewasa kelak.

Tetapi berapa banyak orang yang sedar tentang pembentukan jiwa mereka?

Saya tanyakan hal ini kepada kawan saya yang mendalami bidang psikologi.

Menurutnya, kesedaran diri penting. Ini dicapai menerusi permenungan atau muhasabah (tafakur) atau self reflect.

Proses muhasabah sering mengambil masa sehingga seseorang menyedari kekurangan dan keistimewaan pada dirinya.

Dalam Al-Quran memang banyak suruhan agar Muslim melakukan muhasabah.

Perihal buli mengingatkan saya akan makalah dua pengkaji Jepun, Cik Shoko Yoneyama dan Encik Asao Naito, mengenai masalah buli di sekolahsekolah Jepun. (Rujuk: Problems with the Paradigm: The School as a Factor in Understanding Bullying (with Special Reference to Japan), British Journal of Sociology of Education 24, no. 3 (2003), halaman 315-30.)

Membuli atau ijime (dalam bahasa Jepun) dilaporkan sebagai masalah luas di sekolah-sekolah Jepun.

Banyak faktor menimbulkan buli seperti tekanan pada pelajar, sistem pendidikan yang sukar, struktur hubungan antara pelajar dengan guru yang bersifat darjat (hirarki) dan sebagainya.

Rumusan makalah ini menarik iaitu masalah buli lebih merupakan masalah struktur sosial.

Jadi, selain mengatasi pelajar yang bermasalah, tumpuan perlu diberikan terhadap menghurai masalah struktur sosial atau 'darjat' dalam masyarakat Jepun.

Struktur sekolah menentukan corak hubungan guru dengan pelajar serta cara belajar.

Oleh itu, hujah dua pengkaji Jepun itu membentuk disiplin tegas di sekolah tidak akan menghuraikan kejadian buli.

Sebaliknya, perlu wujud suasana persefahaman dan tinggan rasa antara sesama guru dengan pelajar. Oleh itu, sekolah bukan tempat menegaskan kedudukan kuasa atau darjat.

Jadi, semuanya bermula di sekolah. Tetapi yang menjadi masalahnya: Sesudah urusan sekolah selesai, murid akan pulang ke rumah atau menemui ibu bapanya.

Jadi, wajarkah ibu di kedai kopi itu memberi nasihat seperti itu kepada anaknya?


0 komentar:

Posting Komentar